Grup Gerak Khas
Grup Gerak Khas atau GGK merupakan entiti utama dalam Malaysia. Ianya merupakan sebuah rejimen komando dalam formasi Tentera Darat Malaysia. Penugasan GGK ialah melengkapkan skuadronnya dalam mengesan, melapor dan menghuru-harakan kedudukan musuh melalui penyusupan jauh ke kawasan operasi melalui hubungan kerjasama dengan gerila atau puak penentang. GGK akan menyusun strategi, persediaan, dan apabila diarahkan, serangan akan dilakukan meliputi pertempuran bukan konvensional, pertahanan dalaman, pengintipan khas dan tindakan berterusan melalui sokongan objekif oleh polisi kerajaan di dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan.
GGK yang mendapat latihan khas daripada 40th Royal Marines Commando Britain selepas konfrontasi melibatkan Malaysia-Indonesia ini dilatih meliputi pertempuran bukan konvensional yang merangkumi pelbagai teknik - Taktik Gerila / Anti-Gerila, Taktik Elak dan Lari, Subversif, Sabotaj, Anti Pengganas dan kepakaran yang sudah menjadi lumrah bagi tentera darat - Pertempuran Di dalam Hutan. Unit ini memperolehi reputasi yang paling baik (selain Komando 69 PDRM) dalam operasi memerangi pengganas komunis suatu ketika dahulu. Selepas perletakkan senjata oleh Parti Komunis Malaysia pada tahun 1989, unit ini dipertingkatkan kemahiran dengan operasi dan pengintipan khas. Kini, terdapat 3 buah rejimen yang terdiri daripada Rejimen ke-11, 21 dan 22 GGK. Rejimen ke-11 atau Rejimen Lawan Keganasan merupakan sebuah rejimen memerangi keganasan khasnya di kawasan yang memerlukan pertempuran dalam jarak dekat, misalnya di dalam bangunan, kapal dan pesawat udara. Manakala, rejimen ke-21 dan 22 merupakan rejimen komando dan unit-unit inilah yang menjadi nadi utama semasa insurgensi kedua membanteras komunis. Grup Gerak Khas turut melibatkan diri dalam misi pengaman antarabangsa di Kemboja, Somalia, Sahara Barat, Namibia dan Bosnia Herzegovina. Unit ini pernah terlibat dalam beberapa siri operasi di dalam tugas misi pengaman ini. Antara contoh yang paling dikagumi oleh Grup Gerak Khas ini ialah operasi menyelamat 40 orang anggota komando Delta Force dan 75 anggota Renjer tentera darat Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran di Pasar Bakhara, Moghadishu, Somalia dengan pasukan tentera Mohamed Farrah Aidid. Unit ini turut digandingkan dengan Rejimen ke-19 Askar Melayu Diraja, rejimen ke-10 tentera Pakistan dan division ke-10 tentera darat Amerika serta disokong dengan bantuan helikopter tempur Amerika jenis A/MH-6 Little Bird dan MH-60 serta kereta perisai Condor Malaysia dan M48 (Pakistan). Sungguhpun warga GGK telah kehilangan dua anggotanya dalam operasi di bulatan K4 tersebut, tetapi misi menyelamat tentera sahabat itu berjaya dilaksanakan. Bagi menjaga hubungan baiknya dengan negara serumpun berikutan selepas insiden konfrontasi tersebut, Grup Gerak Khas turut mengalu-alukan pasukan sahabatnya iaitu Tentera Nasional Indonesia (TNI) - Tentera Darat melalui latihan bersama Grup Gerak Khas dengan pasukan elit Kopassus Indonesia. Dari situ, hubungan baik antara GGK dengan Kopassus bertambah kukuh.
0 Komen:
Post a Comment