Seha (Freedom) Dalam Kenangan
KEMUNCULANNYA pada pertengahan tahun 1980-an begitu menyerlah. Kelainan yang dibawanya menerusi fesyen dan persembahan sentiasa menarik perhatian penonton dan peminatnya.
Ketika itu belum ada penyanyi wanita dalam sebuah kumpulan muzik yang menari sambil menyanyi. Mungkin kemahiran itu hasil pengalamannya menyanyi di beberapa kelab sekitar ibu kota, menjadikannya begitu lincah di atas pentas.
Namanya mula meniti di bibir peminat seni tanah air apabila lagunya, Mulanya Di Sini, diperkenalkan melalui album tajuk yang sama pada tahun 1987 oleh syarikat rakaman EMI. Populariti itu sekali gus melayakkan kumpulan Freedom bertanding ke peringkat akhir pertandingan Juara Lagu 1987 terbitan TV3.
Lebih menyerlah, sebagai penyanyi utama kumpulan itu Seha sentiasa tampil dengan fesyen pakaian yang trendy. Bayangkan pada setiap kali persembahan, dia pasti akan muncul dengan imej yang berbeza malah siap bertopi.
Seha memang layaknya digelar trendsetter dan ikon fesyen zaman itu. Itulah keistimewaan Seha yang berani mencuba sesuatu yang baru.
Selain menyanyi, Seha juga berbakat dalam bidang pengacaraan. Siapa yang dapat melupakan kepetahannya mengacarakan rancangan Muzik TV (terbitan Betarecs siaran RTM pada 1994). Dia sempat bertahan sebagai pengacara rancangan tersebut selama tiga tahun.
Namun kini semuanya tinggal kenangan. Semalam kita dikejutkan dengan pemergian Seha atau nama sebenarnya Norseha Abu Bakar ke rahmatullah.
Allahyarham disahkan menghidap kanser paru-paru pada awal Ogos lalu.
Ketika itu dia baru pulang dari Medan, Indonesia dan mengalami muntah berdarah. Setelah membuat pemeriksaan doktor, dia disahkan menghidap penyakit berbahaya itu.
Penyanyi itu telah menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi sejak dua bulan lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur.
Seha, 44, meninggalkan seorang suami, Azmi Thambi Chik, 49, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industrial Estate Berhad (MIEL). Hasil perkahwinannya sebelum ini dengan Christopher Lund Abdullah telah dikurniakan dua orang anak, Misha Kyrie Lund, 15 dan Karissa Iris Lund, 10.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke rumah adiknya, Mohd. Nurbi Abu Bakar di Taman Kesuma, Ampang, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang selepas solat Zuhur.
Walaupun telah lama menyepikan diri daripada dunia hiburan, sumbangan Allahyarham Seha dalam industri itu tidak boleh dipandang sepi. Imej yang dibawanya bersama Freedom dan kelincahannya di atas pentas tidak mungkin dapat dilupakan oleh para peminatnya.
0 Komen:
Post a Comment