13 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri..

Assalamualaikum.
Dengan kesempatan yang diberikan ini, kamezaim ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi semua muslimin dan muslimat, tidak kira di mana anda berada. Dengan ingatan setulus ikhlas, kamezaim memohon maaf dari segala dosa dan khilaf. Sesungguhnya kamezaim hanyalah sekadar seorang insan.

Buat semua yang mengenali diri ini, kamezaim mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi untuk mengenali diri ini. Buat semua teman-teman yang ingin pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah ketika memandu. Hormatilah sesama pemandu yang lain, jangan mengejar waktu hingga terlupa pada nyawa anda. Jika anda memandu kereta yang panjangnya hanya 20 kaki, hormati dan berilah laluan kepada yang kenderaannya sepanjang 40 kaki atau lebih. Kerana kereta anda yang hanya 20 kaki tersebut tidaklah sehebat dan seteguh kenderaan yang mempunyai 40 kaki ke atas. Jika anda bertembung, ternyatalah kenderaan anda bagaikan lempeng yang hangit. Nyawa anda berada bagai di hujung tanduk. Anda mahu keluarga anda di kampung menyambut kepulangan anda dengan senyuman yang cukup bererti atau dengan linangan airmata?. Renungkanlah..

Kamezaim pun rasa tahun ni nak balik beraya di kampung lah. Tahun lepas beraya di perantauan, tahun ni kamezaim mesti dan mesti beraya di kampung. Kamezaim pernah kehilangan ibu tercinta beberapa hari sebelum ramadhan iaitu pada 02 September 2007, satu tarikh yang tak pernah hilang dari sudut ingatan ini. Kamezaim abaikan mak kamezaim kerana terlalu sibuk bekerja di perantauan hinggalah satu saat itu kamezaim terpaksa menerima hakikat yang dia sudah pergi meninggalkan segalanya. Pada 02 September 2007, pukul 3:30 PM adalah saat-saat akhir mak kamezaim menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital Tuanku Fauziah. Mujurlah seminggu sebelum dia pergi, kamezaim sempat bertemunya. Mendapat satu dakapan dan ciuman yang cukup istimewa dari dia dan ternyata itulah dakapan dan ciuman yang terakhir dari seorang ibu kepada anaknya ini. Kamezaim masih punya ayah, dan kamezaim tidak mahu menyesal untuk kali ke dua. Cukuplah kamezaim rasa sungguh menyesal kerana tidak mampu jadi anak yang terbaik bagi arwah mak hinggakan seumur hidupnya penuh dengan kesempitan hinggalah ke akhir hayatnya..

Walaupun hari raya tahun ini dan seterusnya tanpa ibu tercinta, kamezaim masih bersyukur kerana masih punya ayah. Kamezaim akan balik beraya tahun ini, biarlah apapun yang nak terjadi. Kerja boleh di cari, wang boleh di cari, tapi ayah mahupun ibu tak mungkin hilang kan berganti. Kamezaim tahu, ayah kamezaim berharap sangat kamezaim pulang beraya tahun ni sebab tahun lepas kamezaim tak balik raya. Ayah kamezaim hari-hari sms dan call kamezaim tanya balik raya ke tak. Ini adalah perbualan kamezaim dengan ayah beberapa hari lepas. :-


Ayah : Balik ke raya tahun ni?.
Kamezaim : Tak tau lagi abah, tengoklah keadaan macam mana.
Ayah : Baliklah nak, ambil cuti.
Kamezaim : Kalau boleh cuti memang nak balik tapi kalau tak boleh cuti apa boleh buat.
Ayah : Rumah di kampung ni besar, ada banyak bilik. Dulu riuh rendah je rumah ni. Semua bilik ada penghuni. Berebut-rebut nak pergi bilik air sebab bilik air ada satu je. Tapi sekarang sunyi, siapa pun tak ada, nak masuk bilik air satu jam 50 kali pun tak apa.
Kamezaim : Abah, janganlah cakap macam tu.
Ayah : Baliklah nak, abah ada lagi. Arwah mak je yang dah pergi dulu.
Kamezaim : (Terdiam seketika, tiada apa yang termampu untuk dikatakan melainkan hanya membiarkan airmata membasahi pipi ini.)
Ayah : Kalau hang nak balik dengan kereta, abah bagi duit minyak dengan tol. Kalau hang nak balik dengan bas, abah bagi duit untuk beli tiket. Baliklah nak..
Kamezaim : Tak mengapalah abah. Kalau adik dapat balik, adik boleh tumpang balik dengan kakcik atau bang e.
Ayah : Cuti 2 atau 3 hari pun tak apa nak, janji hang balik beraya di kampung. Kakcik dengan kakna boleh buat ketupat, walaupun tak sama macam arwah mak buat tapi tak mengapalah, boleh makan dan beraya ramai-ramai sama anak-anak cukuplah bagi abah.
Kamezaim : Baiklah abah, adik cuba untuk ambil cuti.
Ayah : Baguslah kalau macam tu, kerja dan duit boleh di cari nak. Tak ada duit, kita makan cara tak ada duit. Kita pun bukan senang sangat.
Kamezaim : Baiklah abah, nanti adik bagitahu abah macam mana. Adik pun memang nak sangat balik beraya di kampung. Rindu nak cium tangan abah.

Inilah antara perbualan kamezaim dengan ayah kamezaim yang benar-benar menyentuh hati kamezaim. Hinggakan kamezaim menangis sayu setelah ayah kamezaim betul-betul mengharap akan kamezaim pulang beraya tahun ni. Ayah, anakmu ini akan tetap pulang beraya tahun ini. Nantikanlah kepulangan anakmu ini yang jauh di perantauan...




Renungan terakhir wajah seorang insan
yang bertarung nyawa demi melihat ku dilahirkan ke dunia ini.

Al - Fatihah buatmu ibu,
Semoga ibu tenang di sana,
Dengan rasa sayu di hati,
Anakmu kirimkan doa buatmu,
Dengan harapan ibu ditempatkan
Diantara golongan-golongan
Yang beriman..

: Lagu-lagu raya untuk anda :

01 : Ahmad Jais - Selamat Hari Raya >> Download <<
02 : D. J Dave - Menjelang Hari Raya >> Download <<
03 : Aishah - Pulanglah >> Download <<
04 : Black Dog Bone - Cahaya Aidilfitri >> Download <<
05 : M. Nasir - Suatu Hari Di Hari Raya >> Download <<
06 : Aman Shah - Kepulangan Anakmu >> Download <<
07 : Mamat - Ku Pohon Restu Ayah Bonda >> Download <<
08 : Noorkumalasari - Pulang Di Hari Raya >> Download <<
09 : P. Ramlee - Dendang Perantau >> Download <<
10 : Sanisah Huri - Bersama Ku Pohon Maaf >> Download <<
11 : Sudirman - Selamat Hari Raya >> Download <<
12 : S. Jibeng - Musafir Di Aidilfitri >> Download <<

2 Komen:

Unknown Monday, 14 September, 2009  

selamat hari raya kekandaku!!! pulanglah di hari raya~~~

Pelawat Setia :

Siapa Kamezaim? :

My photo
hanyalah insan biasa yang menumpang di satu sudut dunia ini. Mencari kebahagiaan dan ketenangan hidup sebelum melangkah pergi..

Nukilan Popular :

(c) Copyright - Ini adalah blog peribadi hak milik kamezaim. Sebarang peniruan tanpa kebenaran pemilik adalah DILARANG sama sekali.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP