Showing posts with label Kisah Hidup. Show all posts
Showing posts with label Kisah Hidup. Show all posts

30 September 2009

Aku Insan Yang Berdosa.. (Bah. 2)

"Wah, air sungai ni dah cetek la. Mesti senang ni kalau nak tangkap ikan.." Bisik Zack seorang diri. Zack memandang ke kiri dan kanan, kalau-kalau ada orang di sekitar situ. Ternyatalah hanya dia sahaja yang berada di sekitar situ. Tanpa membuang masa, Zack meletakkan motosikalnya di tebing sungai tersebut dan terus menuruni curam tebing sungai itu. "Wah, banyaknya ikan dekat sini..". Bisik Zack lagi. Zack pun terus menangkap ikan yang ada di depan matanya dengan menggunakan tangannya sahaja memandangkan semasa keluar dari rumah tadi dia langsung tidak membawa apa-apa peralatan untuk memancing. Dalam keasyikan dia menangkap ikan tiba-tiba.. "Aduh, pedihnya jari aku!!.." Keluh Zack menahan kesakitan. Zack memandang jarinya ada darah. Zack berlari menuju ke tebing sambil menahan kesakitan..

Tiba-tiba..

Puteri : Zack, kenapa dengan kamu?.
Zack : Eh Puteri, apa Puteri buat dekat sini?.
Puteri : Aik, kita tanya dia. Dia tanya kita balik. Kenapa dengan tangan kamu tu Zack?
Zack : Tak ada apa-apalah..
Puteri : Kau jangan nak menipu Zack, kalau tak ada apa-apa tak kan sampai terduduk macam tu sekali kot.. Mari Puteri tengok tangan kamu tu..
Zack : Eh, tak pe lah..
Puteri : Zack, darahlah Zack. Apa kau buat tadi Zack?. (Dalam keadaan cemas)
Zack : Tadi Zack turun dalam sungai tu nak tangkap ikan, lepas tu tiba-tiba je tangan Zack berdarah. Puteri.. Jari Zack pedihlah..
Puteri : Ni mesti terkena sengat ikan keli ni Zack. Tak apa, mari sini Puteri hisap jari tu, buang bisa dia.. (Tanpa menunggu jawapan dari Zack,Puteri terus menghisap jari Zack).

Zack terpinga-pinga diantara menahan kesakitan dan juga ketulusan niat murni Puteri itu.. Zack memandang wajah Puteri yang masih bertungkus-lumus menghisap jarinya itu dengan penuh seribu pengertian. Lalu mata mereka bertentangan tanpa seribu bahasa. Diiringi kicauan burung dan tiupan bayu petang yang sungguh mengasyikkan..

Zack : Terima kasih Puteri. Untung Zack ada sahabat macam Puteri ni..
Puteri : Sama-sama Zack.. (Tertunduk malu)
Zack : Puteri dari mana dan nak ke mana ni?. Biarlah Zack tolong hantarkan..
Puteri : Tak mengapalah Zack, puteri dari rumah maklong tadi. Nak balik ke rumah lah ni.
Zack : Kalau macam tu jom lah balik dengan Zack, Zack pun nak balik juga ni. Rumah kita kan satu jalan je.. hehe
Puteri : Tak menyusahkan Zack ke?. Lagipun nanti apa pula orang kampung kata..
Zack : Eh, tak adalah Puteri. Zack ikhlas ni. Biarlah apa orang kampung nak kata pun, kita bukannya buat benda tak elok.
Puteri : Baiklah Zack..

Zack pun mencapai motosikalnya dan terus menghidupkan enjin. Kemudian, Puteri dengan perasaan yang sedikit malu mula duduk di belakang Zack. Tersenyum Puteri seorang diri sambil mereka berlalu meninggalkan sungai itu. Hati mana yang tidak gembira apabila apa yang dihajati kian menjadi kenyataan. Itulah yang bermain di sudut fikiran Puteri. Setelah sekian lama memendam rasa pada Zack, akhirnya hari ini dapat juga dia menaiki motosikal bersama jejaka pujaannya itu.. Walaupun Zack tidak tahu apa yang tersimpan di hatinya itu..

Setibanya Zack di depan rumah Puteri, Zack sedikit terkejut apabila terlihat yang ayah Puteri merenung tajam ke arah mereka berdua. Tanpa di suruh, Puteri turun dari motosikal dan mengucapkan terima kasih kepada Zack dengan diiringi seukir senyuman yang penuh pengertian. Lalu Zack membalas senyuman itu dan mula beredar dari perkarangan rumah Puteri..

Ayah Puteri : Sini kau!!.
Puteri : Ada apa ayah?. (Dengan nada yang terketar-ketar)

"Pannnggg!!". Satu penampar hinggap ke muka Puteri..

Puteri : Apa ni ayah!.
Ayah Puteri : Kau tanya aku lagi kenapa!!. Kau ingat aku ni buta ke ha!!. Berkepit ke hulu ke hilir dengan budak jantan!.
Puteri : Apa yang ayah cakap ni!. Zack cuma nak tolong hantarkan Puteri je, mana ada kami buat apa-apa pun!. (Tegas Puteri dalam mempertahankan kebenarannya).
Ayah Puteri : Kau nak malukan aku ke ha!. Kau tu perempuan, Zack tu lelaki. Kalau dah perempuan duduk berdua-duan dengan lelaki, tak kan tak buat benda-benda maksiat tu kot!!.
Puteri : Ayah ingat Puteri ni apa ha!. Ingat diri Puteri ni murah sangat ke!. puteri dah besar, Puteri tahu mana baik buruknya!!.
Ayah Puteri : Kau jangan ingat aku tak tahu yang kau tu suka dengan budak Zack tu!. Alah, orang zaman sekarang dah suka mesti sanggup buat apa sajakan!!.
Puteri : Ya!!. Memang Puteri suka dekat Zack!. Tapi tak bererti harga diri Puteri semurah itu!. Dan ayah jangan nak samakan Puteri dengan perempuan lain!!.

"Pannnggg".. Penampar ke dua hinggap ke muka Puteri..

Puteri menangis dan rasa cukup kecewa dengan sikap ayahnya yang langsung tidak memahami keadaan yang sebenar. Puteri terus berlari menuju ke bilik dan menutup pintu dengan sekuat hatinya.. Puteri menangis dan terus menangis hinggalah dia terlelap di dalam keadaan yang cukup hampa dan kecewa itu..

Zack tidak terus menuju ke rumahnya tapi sebaliknya dia singgah sebentar di sebuah kedai runcit untuk membeli rokok. Dengan perasaan yang cukup marah, ayah Puteri terus menuju ke rumah Zack..

Ayah Puteri : Zack!!. Keluar kau Zack!!..
Ayah Zack : Eh, Pak Karim. Ada apa ni Pak Karim?.
Ayah Puteri : Mana Zack?!!. Aku datang ni nak jumpa dengan Zack!.
Ayah Zack : Kenapa ni Pak Karim?. Marah semacam je ni. Cuba lah bawa-bawa berbincang. Cuba cerita dekat saya apa yang Zack tu dah buat..?
Ayah Puteri : Ya!!. Memang aku tengah marah ni!. Budak Zack tu bawa anak aku ke hulu ke hilir dengan motosikal dia!. Patutlah pagi tadi si Puteri tu cakap nak pergi rumah maklong dia, entah-entah dia pergi buat maksiat dengan Zack!!.
Ayah Zack : MasyaAllah... Betul ke ni apa yang Pak Karim cakapkan ni?.
Ayah Puteri : Kau ingat aku nak menipu kau ke!. Aku nampak dengan biji mata aku sendiri si budak Zack tu hantar anak aku depan rumah aku..!.
Ayah Zack : Baiklah kalau macam tu, kita tunggu Zack balik. Nanti biar saya tanya dia. Si Zack ni pun sebenarnya belum balik lagi ni..
Ayah Puteri : Aku bukan apa, aku malu dengan orang kampung. Anak kau tu lelaki, anak aku ni perempuan. Mana aku nak letak muka aku ni kalau satu kampung bercerita nanti.!!.
Ayah Zack : Tak mengapalah Pak Karim, Pak Karim baliklah dulu. Nanti biar saya saja yang tanya si Zack tu..

Tanpa sebarang kata, Pak Karim terus melangkah pergi meninggalkan perkarangan rumah Zack dengan perasaan yang masih marah itu..

Ayah Zack pun terasa sedikit kecewa dan mengharapkan kepastian dari anaknya itu. Dia terus menunggu Zack pulang dan tanpa di duga pucuk di pinta ulam mendatang. Dia terserempak kelibat Zack yang sedang menuju ke rumahnya.. "Dah balik pun anak aku sorang ni.." Keluh Ayah Zack dalam hatinya..

Bersambung..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

29 September 2009

Aku Insan Yang Berdosa.. (Bah. 1)

Langit yang cerah tidak bererti panas hingga ke petang, mungkin itulah yang sesuai dikatakan buat insan bernama Zack. Hidup penuh dengan dosa, dosa-dosa silam yang sering menghantui di sepanjang perjalanan hidupnya. Sebagai seorang manusia yang tidak punya kelayakan mahupun kekayaan, kerana nafsu menguasai diri akhirnya dia sendiri yang menyesali dengan apa yang terjadi.. Dia ingin menjadi seorang yang berguna, termampukah dia untuk berubah walaupun hidupnya sering di hantui dosa-dosa semalam..


"Aduh, panas sungguh hari ini." Keluh hati Zack seorang diri. Melihat jam telahpun menandakan bahawa matahari sudah berada tegak di atas kepala. Zack bingkas bangun dari tilam usangnya dan bergegas ke ruang dapur dengan harapan ada makanan yang boleh dijamahnya. Dibukanya tudung saji, hati Zack gembira apabila melihat ada semangkuk nasi goreng. Tanpa membasuh muka Zack terus menjamah nasi goreng tersebut, yang penting perutnya dapat di isi. Setelah tiada sebutir pun nasi di dalam mangkuk tersebut, Zack terus bangun meninggalkan mangkuk tersebut di atas meja dapurnya dan menuju ke ruang tamu lantas mencapai surat khabar yang berada di atas meja. Dibelek satu persatu helaian surat khabar tersebut. Setelah selesai membaca, Zack berlalu meninggalkan ruang tamu dan terus menuju ke biliknya untuk mengambil tuala. Zack terus menuju ke bilik air untuk mandi. "Kalau dapat berendam ni mesti seronok ni, separuh hari tak keluar dari bilik air pun tak apa ni". Kata Zack dalam hatinya..

3 jam kemudian..

Mak Kiah membuka pintu rumahnya sambil memikul bakul yang berisi ikan dan sayur yang baru dibelinya di pasar tadi. Mak Kiah menuju ke dapur dan meletakkan bakul tersebut di atas meja dapurnya. Mak Kiah terpandang mangkuk nasi yang ada di atas meja tersebut, sambil memerhati ke arah bilik anaknya..

Mak Kiah : Zack, kalau dah makan tu tak kan tak reti nak cuci kot..
Mak Kiah : Eh, manalah budak ni pergi. Zack oh Zack, tak kan lepas makan tidur balik kot..
Zack : Ye mak, Zack ada dalam tandas ni.
Mak Kiah : Kau buat apa dalam tandas tu Zack. Nak kata mandi tak dengar bunyi air pun.
Zack : Ala mak ni, cuaca dekat luar tu panas lah mak.
Mak Kiah : Dah tu, kau tidur dalam bilik air tu ke Zack?. Ish budak ni..
Zack : Ala mak ni, Zack bukan tidur dalam bilik air ni mak. Zack cuma... Ye la.. Ye la.. Zack keluar ni..
Mak Kiah : Dah dah la tu Zack, jangan membazir air tu. Kita ni orang susah, kena berjimat cermat. Jangan membazir..

Zack pun mencapai tuala lalu diikat di pinggangnya dan terus keluar dari bilik air tersebut..

Zack : Eh, awal mak balik hari ni?.
Mak Kiah : Awal tengkorak kau. Kau tu yang bangun lewat, kata aku pulak yang balik awal.

Zack tertunduk malu mendengar kata-kata dari maknya itu..

Mak Kiah : Ha, tunggu apa lagi tu. Pergi la pakai baju, tolong mak potong ikan dengan sayur ni.
Zack : Baiklah mak..

Zack pun bergegas menuju ke bilik. Dicapainya seluar pendek yang dah berapa kurun agaknya tidak pernah bercuci. Setelah menyarung seluar pendek tersebut, Zack pun terus menuju ke dapur.

Mak Kiah : Wah, cepatnya anak mak ni pakai seluar.
Zack : Biasalah mak, Zack kan anak mak. Nak tolong mak punya pasal lah katakan..
Mak Kiah : Ha, tu adalah tu nak bodek apa-apa tu.
Zack : Eh mak ni, tak baik tau bersangka buruk pada Zack.. Zack ikhlas lah nak tolong mak. Tadi mak juga yang suruhkan. Apalah mak ni..
Mak Kiah : Ala Zack, mak ni yang lahirkan kau. Mak besarkan kau dari besar telapak tangan sampailah sekarang dah besar panjang. Tak kanlah mak tak kenal kau ni macam mana Zack.
Zack : Mana abah mak?. 'Zack cuba menukar topik..'
Mak Kiah : Tak tahu, abah keluar dari pagi tadi lagi. Mungkin dia pergi jumpa kawan-kawan dia kot. Dah lah, ambil pisau tu potong sayur ni.
Zack : Baiklah mak..

Zack pun mencapai sebilah pisau dan terus memotong sayur seperti yang disuruh maknya.

Mak Kiah : Eh, yang kau pergi potong terus tu buat apa. Kalau ye pun, pergilah basuh dulu sayur tu..
Zack : Aik, tadi mak suruh potong sayurkan. Mana ada mak suruh Zack basuh sayur ni pun.
Mak Kiah : Aduh, sejak bila kau jadi lurus ni Zack. Tak kanlah semua mak nak terangkan. Itupun kau tak boleh fikir ke Zack.. Zack... Zack..
Zack : Baiklah, Zack pergi basuh dulu. (Mengomel Zack seorang diri)

Setelah semua sayur dibasuh, Zack kembali ke meja..

Zack : Mak, banyak ni je ke yang mak beli?
Mak Kiah : Yelah, kau nak banyak mana lagi. Bersyukurlah nak..
Zack : Tak kan hari-hari kita nak makan ikan kembong ni je mak. Perut Zack ni pun boleh kembong dibuatnya.
Mak Kiah : Zack, tak baik kau mengeluh Zack. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kita ni orang susah Zack, tak berduit. Walaupun hari-hari kita makan ikan ni je, sekurang-kurangnya anak-anak mak tak ada lagi yang mati kebuluran tau.
Zack : Zack bukan tak bersyukur mak tapi kalau dah hari-hari asyik makan benda yang sama je, jemulah mak.. Teringin juga Zack nak makan ayam ke, daging ke..
Mak Kiah : Mak memang nak beli ayam tadi tapi duitnya pula tak cukup. Tak mengapalah Zack, nanti bila-bila mak beli ayam pula ye.
Zack : Mak, kalau Zack nak cakap sikit dekat mak boleh tak? Mak janji jangan marah ye.
Mak Kiah : Cakaplah nak apa dia..
Zack : Mak, kalau Zack nak berhenti sekolah boleh tak mak?. Biarlah Zack cari kerja, sekurang-kurangnya dapatlah juga Zack bantu mak dengan abah.
Mak Kiah : Kau dah gila ke Zack!!. Apa nak jadi dengan kau ni Zack..
Zack : Ala mak, Zack dah tak ada minat lagi nak ke sekolah. Kepala Zack ni dah tak boleh nak terima lagi apa yang cikgu ajar. Zack dah tak minat nak belajar lagi lah mak..
Mak Kiah : Kau jangan nak mengada Zack, mak dengan abah ni masih kuat lagi untuk cari duit. Lagipun, SPM dah nak dekat Zack. Pelajaran tu penting Zack, tak ada pelajaran hidup kita lagi susah Zack. Percayalah cakap mak ni..
Zack : Tapi mak...
Mak Kiah : Dah!!.. Tak ada tapi-tapi lagi..

Dengan sedih dan marahnya, Zack bangun sambil menghempaskan sayur ke atas meja dan menuju ke biliknya. Ingin menunjukkan pada maknya yang dia cukup kecewa, lalu Zack menutup pintu biliknya dengan sekuat hati. Tersentak maknya mendengar dentuman pintu bilik Zack. Tanpa di sedari, airmata mula mengalir membasahi pipi mak Kiah. Mak Kiah terasa cukup kecewa dengan hasrat dari anak bongsunya itu untuk berhenti sekolah. Tiba-tiba mak Kiah tersentak apabila bahunya disentuh lantas dia menoleh ke belakang dan mendapati bahawa suaminya sudah pulang..

Abah : Kenapa ni Kiah? Kenapa Kiah menangis?
Mak Kiah : Tak ada apa-apa abang. (Sambil mengelap airmata dipipinya)
Abah : Kiah, Kiah jangan nak tipu abang. Cakaplah dekat abang kenapa Kiah menangis..
Mak Kiah : Abang, Zack cakap dekat Kiah yang Zack nak berhenti sekolah. Dia kata dia nak cari kerja, dia dah tak minat nak belajar lagi.
Abah : SPM kan dah nak dekat ni, kenapalah dia buat hal pula..
Mak Kiah : Itulah sebabnya abang, Kiah tak nak masa depan dia gelap. Kiah nak lihat dia berjaya macam abang dan kakak-kakak dia.
Abah : Tak mengapalah Kiah, biar abang berbincang dengan dia nanti. Mana dia ye?
Mak Kiah : Tu ha, ada dalam bilik tu. Merajuk dengan Kiah lah tu.
Abah : Sudahlah tu Kiah, nanti biar abang je yang berbincang dengan dia. Eh, Kiah masak apa ni. nak abang tolong ke?. (Cuba untuk menukar topik).
Mak Kiah : Boleh juga kalau abang nak tolong. Cepat sikit kita boleh makan tengah hari ni..

Beberapa jam kemudian..

Zack mengambil kunci motosikalnya dan terus keluar dari bilik dan menuju ke pintu rumah.. Kerana terlalu kecewa, Zack langsung tidak menoleh ke arah ibunya yang berada di dapur. Tiba-tiba ayahnya memanggilnya..

Abah : Kau nak ke mana tu Zack?.
Zack : Tak ke mana abah, saja je nak keluar tenangkan fikiran.
Abah : Kalau ye pun, marilah kita makan dulu.
Zack : Tak pe lah abah, abah makan lah dengan mak tu.
Abah : Marilah dulu Zack, abah ada benda nak bincangkan dengan kau ni..
Zack : Tak apalah abah, malam ni pun boleh kita bincangkan. Bukannya Zack tak balik rumah malam ni.

Zack terus menuju ke motosikalnya lalu menghidupkan suisnya. Dengan perasaan yang kecewa, Zack berlalu meninggalkan perkarangan rumahnya. Menuju ke suatu tempat yang dia sendiri pun tidak tahu ke mana harus dia tuju. Di dalam fikirannya penuh dengan seribu kekecewaan. Dia kecewa kerana ibunya langsung tidak memahami perasaanya yang sudah tidak lagi berminat untuk belajar. Dan dia juga turut kecewa kerana ibunya sering membandingkan dirinya dengan orang lain terutama kakak dan abang-abangnya. Ibunya selalu memuji abang dan kakaknya berbanding dirinya. Zack sedar dirinya tak setanding abang dan kakak-kakaknya yang mampu belajar hingga ke peringkat yang lebih tinggi dan sekarang mempunyai kerja yang menjaminkan masa hadapan mereka..

* Ingin mengetahui kisah seterusnya?. Teruskanlah membaca pada episod akan datang..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

16 September 2009

Ratapan Seorang Ibu Tua..


JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.

Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,” katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,” katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

* Sumber : Harian Metro (16/09/2009)

<------------------------------------------------------------>

Benar kata orang, kasih ayah mencari rezeki. Kasih saudara hanya ketika berada dan kasih ibu membawa ke syurga. Tapi, kasih anak.. Tak siapa yang tahu...

Inilah nasib seorang ibu yang telah mempertaruhakan nyawanya untuk melahirkan anaknya ke dunia ini dengan harapan anaknya dilahirkan dengan sempurna. Kemudian, si ibu membesarkan anaknya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Tapi kini dia sudah tua dan tidak lagi berdaya untuk melakukan sebarang kerja dan hanya mengharapkan kasih sayang dari seorang anak yang dia lahirkan. Tapi apakan daya, kasih anak tak setanding kasih ibu. Akhirnya, seorang ibu tua ditinggalkan di rumah kebajikan dengan hanya alasan tiada siapa yang dapat menjaganya kalau dia di bawa balik ke rumah anaknya. Bertahun-tahun si ibu tua ini membesarkan anaknya tanpa satu alasan pun tapi kenapa anaknya tergamak memberi alasan untuk tidak menjaga ibunya yang sudah tua ini. Syawal kian menjelma, hati ibu mana yang tidak sayu mengenangkan nasib diri apabila di buang oleh anak kandungnya sendiri. Kenapalah anaknya sungguh kejam, tergamak membiarkan ibu kandungnya beraya di rumah kebajikan itu. Kalau sekalipun tidak mahu menjaga ibunya itu, apa salahnya kalau bawa di balik ke rumah untuk beraya dengan anak-anak dan cucunya. Selepas tu nak hantar dia pulang ke rumah kebajikan pun, itu terserahlah.

Kamezaim sedih sangat, sedih dan terkilan kerana mereka masih punya ibu tapi tidak tahu menghargainya. Mungkin sekarang mereka bahagia dengan keluarga mereka tanpa ibu tapi mereka terlupa bahawa tiada kasih lain selain kasih ibu yang membawa ke syurga. Bila mereka berada di mana kamezaim berada, barulah mereka tahu betapa bernilainya kasih seorang ibu. Kita tidak akan merasa ianya bererti selagi ianya masih ada, tapi kita akan merasa ianya cukup bererti setelah kita kehilangannya. Tapi setelah kita kehilangannya, segalanya sudah tidak bererti lagi. Dia pergi tetap akan pergi, kita akan merasa penyesalan seumur hidup yang ada. Hingga satu saat itu kita mula terfikir, jika aku diberikan satu peluang untuk bersama ibu lagi, aku pasti akan menjaganya. Tapi apakan daya, smua itu hanyalah selepas ianya tiada. Tapi kenapa semua itu tidak terjadi sebelum ianya tiada.

Buat semua anak-anak yang telah menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau telahpun membiarkan ibu bapa mereka terbiar bagai sampan hanyut di lautan yang sepi, ambil dan bawalah mereka pulang ke rumah anda. Andai kehadiran mereka tidak disenangi oleh isteri atau suami anda, pilihlah yang mana satu lebih bermakna buat anda. Adakah sanggup kita membuang seorang ibu atau ayah hanya kerana ingin menjaga hati seorang isteri atau suami?. Terlupakah kita bahawa kita juga akan menjadi seperti mereka pada suatu hari nanti malah mungkin lebih hebat dari itu. Bawalah mereka balik, jagalah mereka seperti mana mereka menjaga dan membesarkan kita dulu. Janganlah hanya kerana kepentingan diri sendiri, kita terlupa dari mana dan dengan siapa kita dilahirkan. Tanpanya, tiadalah kita..

Renungkanlah.. Menyesal di kemudian hari tiada gunanya lagi.. Kamezaim luahkan apa yang kamezaim rasa, kerana kamezaim pernah menghadapi saat-saat kehilangan seorang ibu yang selama ini telah banyak berkorban demi membesarkan kamezaim. Kamezaim pernah lalui bagaimana rasanya bila mencurah air ke satu jasad yang sudah tidak bernyawa, kamezaim pernah melalui bagaimana sayunya hati melihat seorang ibu yang telah melahirkan kamezaim dikafankan. Senyuman terakhir sebelum wajahnya ditutup oleh kain putih. Kamezaim pernah lalui bagaimana mengangkat sebuah keranda yang kamezaim sendiri tahu bahawa di dalam keranda tersebut adalah sekejur tubuh seorang ibu yang sangat kamezaim sayang. Kamezaim juga tidak pernah lupa bagaimana rasanya tatkala membawa jenazah ibu turun ke dalam liang lahat. Kalau sebelum ini kamezaim membawa turun jenazah sahabat-sahabat kamezaim tapi kini jenazah yang kamezaim bawa turun itu adalah jenazah ibu kamezaim sendiri. Rasa bagai ingin saja menangis sekuat-kuatnya tapi kamezaim tabahkan hati juga kerana kamezaim mahu arwah ibu pergi dengan tenang bertemu yang maha Esa. Kemudian, kamezaim tak kan lupa juga bagaimana perasaan tatkala mula membawa tanah turun ke dalam liang lahat. Semua itu terlalu sukar untuk kamezaim gambarkan melainkan hanya pada mereka yang pernah melaluinya sendiri. Jadi, pada mereka yang masih punya ibu dan ayah, hargailah mereka selagi mereka masih ada. Kehilangan mereka seumpama hilang separuh dari hidup ini. Bersyukurlah sementara mereka masih ada, dengarlah cakap kamezaim ni. Jangan menyesal seumur hidup yang ada..

** Dapatkan Lagu Raya Percuma Di Sini >> Klik <<


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

09 August 2009

Baca, Fikir Dan Jawab (Bah. 2)


Assalamualaikum..
Salam ahad untuk semua. Semoga hari ini dan seterusnya menambahkan lagi keceriaan dalam hidup kita semua. Lagi beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut ramadhan, terasa cepat sungguh masa berlalu. hehe Sebenarnya apa yang kamezaim nak tulis kali ini adalah ingin bertukar pendapat dengan anda semua. Itupun kalau anda sudilah. hehe Nampak tak budak dekat atas tu, dia pun tengah berfikir tu.. hehe Tadi kamezaim pergi ke kedai untuk beli akhbar. Dalam tengah-tengah baca tu kamezaim terlihat satu artikel yang cukup menarik. Menarik untuk di bincangkan atau bertukat pendapat.

Tajuk artikelnya adalah :-

" Pensyarah Dihantui Kisah Silam "

SAYA wanita berusia 24 tahun yang melalui pelbagai rintangan dalam kehidupan yang penuh noda dan dosa tetapi Allah memberi ruang untuk saya membina kehidupan lebih baik.Sekarang saya baru menamatkan kursus dan akan memulakan kerjaya pensyarah di institusi swasta. Mungkin itu rezeki dan usaha saya untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa yang bersusah payah untuk saya.

Yang mengganggu fikiran saya sekarang adalah kehidupan masa lalu. Sebelum ini hidup saya sentiasa bergelumang maksiat. Ketika di kampus, saya pernah terjebak dengan cinta pengkid.

Saya menjalin hubungan sejenis hampir dua tahun dan naluri saya sangat mencintai perempuan. Kemudian hadir seorang lelaki yang membawa saya keluar dari kancah hidup sonsang itu.

Malangnya, selepas saya dapat menerima kehadirannya, lelaki itu pula sering menggoda saya sehingga saya akhirnya terlanjur tiga kali bersamanya. Lebih memilukan, hasrat kami untuk berkahwin tidak kesampaian kerana tidak mendapat restu keluarga.

Dang Setia, sejak itu saya sering berasa ketagih. Saya boleh dikatakan memiliki rupa yang cantik, oleh itu ramai lelaki sering memikat saya.

Masalahnya, bila saya ikhlas menerima mereka sebagai kekasih, saya dikecewakan. Selepas tubuh saya mereka nikmati, saya ditinggalkan.

Saya sangat menderita setiap kali ditinggalkan. Memang itu kesilapan saya kerana tidak dapat menahan nafsu. Bukan seorang yang pernah meniduri saya, tetapi sembilan lelaki.

Mereka adalah bekas kekasih saya atau sekadar kawan sekerja. Kadangkala saya terasa diri ini jijik sangat.

Sekarang saya berusaha memperbaiki kehidupan. Saya ingin buang jauh-jauh kehidupan lampau dan mahu kehidupan kini serta akan datang menjadi lebih baik. Saya rasa berdosa dengan keluarga kerana mereka menganggap saya anak yang baik.

Terkini, sejak dua bulan lalu saya bercinta dengan seorang lelaki yang baik. Dia menerima saya seadanya dan membawa saya berjumpa keluarganya. Walaupun tahu saya bukan dara lagi, dia tetap ingin saya berubah dan hidup gembira.

Masalahnya, saya tidak pernah menceritakan secara terperinci sembilan lelaki pernah menjamah tubuh saya. Perlukah saya menceritakan semua itu?

Sekarang saya ingin bertaubat, persoalannya adakah saya masih diterima Allah? Mungkinkah saya akan dijangkiti HIV kerana sering bertukar-tukar pasangan seks dan bagaimana langkah terbaik untuk memperbetulkan kehidupan?

ZANA

* Sumber : Dang Setia, Harian Metro.

Jawapan dari Dang Setia memang sudah ada, nak tahu apa jawapannya silalah beli sendiri akhbar tersebut.. hehe Tapi sekarang kamezaim nak tahu apa pula jawapan dan pendapat dari anda semua. Manalah tahu secara tidak langsung kita dapat membantu saudari Zana ini. (Itupun kalaulah dia terbaca blog ini).. hehe


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

08 August 2009

Hidup Mesti Diteruskan..


Hidup.. Kadangkala hidup ini amat indah, seindah impian yang kita kejar. Tapi, adakalanya juga hidup ini amat pedih dan derita. Mungkin itulah yang dikatakan kehidupan seorang manusia. Ada masa kita ketawa sampai terkeluar airmata dan adakalanya juga kita menangis sampai tiada lagi airmata. Kita kecewa bila kita dikecewakan tapi adakah kita rasa bahagia bila kita yang mengecewakan?. Kadangkala kita nak orang ikut cara kita tapi adakah kita mampu untuk ikut cara orang?. Tiada seorang pun manusia dalam dunia ini menginginkan penderitaan dan kekecewaan, semuanya ingin bahagia. Tapi sebenarnya penderitaan dan kekecewaan itulah sumber ilham hidup kita..

Kita sering mencuba yang terbaik untuk hidup kita sampai kadang-kadang kita lupa di mana kita bermula, kita bangga bila kita berjaya namun masih ingatkah kita pada saat-saat dimana kita mula melangkah dulu?. Siapa yang ada di sisi kita ketika itu?. Kenapa masa itu dia ada di sisi kita tapi kenapa sekarang dia tiada di sisi kita?. Adakah kita sudah terlupa pada dia?. Atau adakah dia rasa dia sudah tidak diperlukan lagi..

Dulu, macam-macam perkerjaan yang kamezaim buat demi meneruskan kehidupan. Kamezaim pernah jadi gembala kambing, pernah jadi mekanik, pernah jadi jurujual, pernah jadi tukang cuci pinggan, pernah jadi tukang masak, pernah jadi buruh kasar dan bermacam-macam lagi.. Seksanya ketika itu hanya Allah sajalah yang tahu, tidak kira panas mahupun hujan, kamezaim tetap sabar melakukan kerja. Kerana kerja adalah satu amanah dan kewajipan, itulah pesanan terakhir dari arwah mak kamezaim. Kamezaim masih ingat lagi masa kali terakhir kamezaim berjumpa dengan arwah, dia bangun dari katil hospital dan memeluk kamezaim lalu berkata pada kamezaim ".. Bekerjalah dengan rajin dan bersungguh-sungguh, kerana itu adalah satu amanah dan kewajipan. Jaga diri dan semoga berjaya. Hidup ini mesti diteruskan..". Itulah kata-kata yang terakhir dari mulut arwah sendiri untuk kamezaim.. Dialah satu-satunya ibu kamezaim, tiada dua mahupun tiga.. Walau kamezaim sering melukakan hatinya namun dia sekali pun tidak pernah membuang kamezaim dari hidupnya.. Itulah satu-satunya kasih dan pengorbanan dari seorang ibu yang tidak mungkin kamezaim kan temui lagi..

Walau sudah 2 tahun dia pergi meninggalkan kamezaim, namun wajah dan suaranya masih hidup di dalam ingatan ini. Mujur dan alhamdulillah, kamezaim masih punya ayah yang sangat sayang pada kamezaim. Seorang ayah yang telah banyak berkorban demi anak-anaknya. Kini kamezaim tempuh hidup ini dengan kenangan-kenangan yang ada. Walaupun hidup ini sendiri, tanpa sesiapa di sisi. Yang ada turut berlalu pergi, inikan pula yang masih belum di cari.. Tak kisahlah, siapalah yang sudi pada insan seperti ini.. Membawa haluan hidup sendiri, terumbang-ambing menempuh gelora kehidupan.. Hidup mesti diteruskan selagi hayat yang ada...


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

20 July 2009

Untukmu Kawan..


Kawan..
Ku masih ingat kenangan kita dahulu
Kita mengenali antara kita dari tadika lagi
Hinggalah kita menjejak kaki ke sekolah rendah
Kita ibarat adik beradik yang paling rapat
Tidak pernah terpisah walaupun di dalam kelas
Kita meniti kehidupan di alam persekolahan bersama
Suka duka kita lalui dengan sabar dan hati yang tenang..

Kawan..
Kita pun mula melangkah ke alam menengah bersama
Kita bersekolah di sekolah yang sama
Kita belajar di dalam kelas yang sama
Setiap pagi kita pergi ke sekolah bersama
Mengayuh basikal sambil dipenuhi buku-buku sekolah
Berlumba siapa yang sampai dulu..

Kawan..
Kita mandi di sungai bersama
Kita tangkap ikan pun bersama
Kita menghabiskan masa bersama-sama
Namun, kita terpisah setelah tamat persekolahan
Kau melanjutkan pelajaran lebih tinggi dari aku
Manakala aku mencari kerja demi menampung kehidupan
Aku bangga kerana kau mampu pergi belajar lebih dari aku
Aku sentiasa mendoakan kejayaanmu..

Kawan..
Masih ingatkah kau semua itu
Masih ingatkah kau pada aku
Satu-satunya teman yang mengenalimu dari kecil
Setelah kau menemui teman-teman barumu
Mengapa aku dipinggirkan dari hidupmu
Adakah kerana aku tidak setanding dirimu
Mengapa semua ini harus berlaku
Mengapa kau cepat berubah laku..

Kawan..
Aku kecewa dengan sikapmu
Mengapa kini sudah tidak seperti dulu
Adakah kini kita sudah dewasa dan dulu kita masih kanak-kanak
Apa bezanya dulu dan kini wahai kawan
Tidakkah kau terfikir bahawa kawanmu inilah yang akan menemanimu
Tatkala hatimu kecewa dan tatkala jiwamu menderita
Pernahkah aku sakiti hatimu sepertimana kau sakiti hatiku
Mengapa ini balasanmu pada teman yang setia menemanimu
Hanya kerana jurang pendidikan kita berbeza..

Kawan..
Aku tahu masa yang lalu tak kan terulang lagi
Namun salahkah kiranya kita mengulangi kembali kenangan dulu
Bagiku, persahabatan antara kita cukup bermakna buatku
Walau ianya langsung tidak bermakna buat dirimu..

Kawan..
Terima kasih ku ucapkan padamu
Keranamu ku kenal erti kawan
Dan keranamu jua ku kenal erti kehidupan
Ada kawan yang menangis bersama kita
Dan ada juga kawan yang hanya ketawa bersama kita
Walau aku tidak lagi kau ingati
Namun ku doakan kau berjaya dan bahagia
Walau di mana pun jua kau berada
Kenangan antara kita tetap mekar dan kukuh di sudut ingatan ini
Sekali ku mengenalimu, selamanya jua ku kan mengenalimu walau ianya hanyalah pada nama..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

22 June 2009

Ku Terima Sms Dari Abah..

Assalamualaikum..
Salam ku beri sebagai tanda ku memulakan bicara. Ingin ku ukirkan di sini perasaanku di saat ini. Sungguhpun tidak termampu tangan ini untuk mencoretkannya, namun ku teruskan jua dengan harapan airmata ini kan berhenti dari mengalir membasahi pipiku ini..

Sedih serta sayu rasa di hati tatkala ku menerima satu sms dari ayah yang tercinta. Pada mulanya ku gembira kerana mendapat khabar berita darinya, namun bila di baca apa yang di tulisnya hatiku berubah menjadi sayu dan pilu. Terhenti segala kerjaku, terasa dunia ini seakan berhenti dari bergerak. Tanpa di sedari airmata pun mengalir membasahi pipi..

Inilah sms yang kamezaim terima dari ayah kamezaim pada 22 Jun 2009, jam 4 : 56 PM. :-

"Terima kasih lah, kerana masih ingatkan abah lagi. Kerana miskin abah dan arwah mak tak dapat bagi anak-anak belajar sampai ke tahap yang lebih baik. Asal abah pun harap pada gaji bulan je.."

Selepas itu kamezaim gagahkan juga untuk bertanya kembali kepada ayah kamezaim :-

"Kenapa ni abah..?"

Kemudian dia balas pertanyaan kamezaim tadi.. :-

"Tak ada apa-apa, cuma abah kadang-kadang rasa bersalah tak dapat bagi anak-anak belajar hingga ke peringkat lebih tinggi. Rasa susah berterusan bila abah dah tak ada nanti.."

Apa lagi yang harus ku katakan padanya. Sesungguhnya aku sudah bersyukur dengan kasih sayang yang dia berikan pada aku selama ini. Pengorbanan yang dia lakukan pada aku selama ini sudah cukup bermakna dan tidak termampu untuk ku balas segala jasa dan pengorbanannya itu. Aku sedar, aku bukanlah dari keluarga yang kaya. Malah aku tak pernah lupa setiap saat tatkala kemiskinan itu menghimpit keluarga ku. Aku tidak lupa juga di mana suatu ketika itu kau menahan lapar demi aku. Kau hanya melihat aku makan sedangkan kau hanya memerhati dengan penuh kasih dan sayang. Pada masa itu, manalah aku mengerti semua ini. Aku tahu, sungguhpun kau tak mampu memberi aku untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi namun kau berusaha sedaya yang ada demi membesarkan aku seperti insan lain. Siang malam kau keluar mencari rezeki, tidak kira hujan atau panas. Kau ketepikan segala kepentingan diri demi melihat anak-anak mu membesar seperti insan lain. Itu semua sudah bermakna buat aku, sungguhpun hidup kita tidak seberapa senang namun aku bangga sekurang-kurangnnya kau mampu membesarkan aku hingga ke saat ini..

Sungguhpun orang lain makan makanan yang sedap-sedap, tapi kita hanya makan ikan kembung serta ulam sahaja. Sungguhpun orang lain dapat pakai pakaian yang mahal dan cantik tapi kita hanya pakai saja apa yang ada. Sungguhpun di dalam rumah orang lain serba ada tapi di dalam rumah kita serba tiada namun aku tetap bangga dan bersyukur kerana di lahirkan di dalam keluarga ini..



Ayah..
Janganlah kau menyesal dengan semua ini
Sesungguhnya aku bangga dengan dirimu
Ingin aku jadi seorang insan sepertimu
Yang berkorban apa saja demi keluarga tercinta..

Ayah..
Aku tak sanggup kehilanganmu
Aku tak mahu berada jauh darimu
Aku ingin kau sentiasa mengambil tahu tentang aku
Aku tak peduli apa orang nak kata pada aku
Kerana pada 2 September 2007 aku telah kehilangan
Satu-satunya permata dalam hidupku
Tanpa sempat aku membalas jasa dan pengorbanannya
Hingga membuatkan aku menyesal seumur hidup yang ada
Dan kini aku tak sanggup kehilangan dirimu
Hanya kau yang aku ada
Hanya kau tempat ku bermanja
Dan hanya kau sajalah tempat untukku
Menumpang kasih..


Ayah..
Kaulah ayahku yang satu..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

05 June 2009

Kau Pengkhianat Negara!


Kau bukan perwira
Kau bukan pembela Negara
Kau adalah pengecut
Kau adalah pengkhianat Negara..

Kerana kau kami berendam airmata
Kerana kau juga kami bermandikan darah
Kerana kau kami berjuang bermati-matian
Kerana kau juga kami menentang habis-habisan..

Rundingan di baling kau tidak endahkan
Peperangan juga yang kau inginkan
Pantang undur kami tetap mara
Rejimen Gerak Khas tetap bersatu
Teguh membela Negara..

Malaysia bukan Negaramu
Jangan kau cuba kembali ke sini
Langkah mayat kami satu persatu
Kan kami pertahankan hingga ke
Titisan darah yang terakhir..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

30 April 2009

Cinta Memerlukan Keimanan..


"...cinta memerlukan keimanan,
tanpa keimanan hilanglah pengertian cinta.."

Assalamualaikum..
Pertama sekali kamezaim ingin memohon maaf kepada dia sekiranya entry ini menyentuh perasaan dan hatinya. Kamezaim tidak bermaksud untuk mengungkit kesedihannya. Kamezaim cuma ingin mengembalikan semangatnya agar dia dapat kembali hidup dalam keadaan seperti sebelumnya.

Cinta adalah satu perasaan yang suci dan murni. Cinta adalah satu perasaan yang lahir dari hati ke hati. Tiada siapa dapat lari dari merasai cinta kerana cinta adalah sebahagian dari hidup seorang bernama manusia. Namun, cinta bukanlah segala-galanya.. Jangan kerana cinta kita menjadi buta, jangan kerana cinta kita menjadi lupa dan jangan kerana cinta kita serahkan segala-galanya.. Apalah ertinya andai orang yang kita sayang, orang yang kita cintai mengkhianati kita. Apa gunanya kita menanti pada insan yang menyintai kita hanya kerana nafsu semata, hanya kerana menginginkan harga diri kita.

Buat seorang wanita bernama Ani (bukan nama sebenar), dia mengenali seorang lelaki dari ruangan internet. Setelah sekian lama mereka kenal akhirnya mereka berjanji untuk sehidup-semati. Namun Ani tahu bahawa kekasihnya itu adalah seorang yang suka berfoya-foya dengan gadis lain. Ani meminta kekasihnya berjanji untuk berubah dari melakukan dosa-dosa itu dan kekasihnya juga turut berjanji bahawa tidak akan mengulangi dosanya lagi. Kerana Ani percaya pada janji kekasihnya itu, akhirnya mereka mengikat tali pertunangan dan akan disatukan tidak lama lagi. Lagi sebulan mereka ingin mendirikan mahligai yang diimpikan oleh Ani selama ini, dalam kesibukan Ani menyiapkan persiapan untuk majlisnya itu tiba-tiba Mak Ani mendapat panggilan dari bakal menantunya. Akhirnya bakal menantunya menyatakan bahawa dia sudah tidak menyintai Ani lagi malah di hatinya sudah tiada Ani lagi. Ani yang terkejut mendengar berita itu cuba untuk menghubungi tunangnya dengan harapan dia mampu mempertahankan hubungan mereka yang terjalin selama ini. Namun pelbagai alasan yang Ani terima dari tunangnya itu.. Dalam masa yang sama Ani tahu yang tunangnya itu masih lagi dengan tabiat lamanya, segala janji hanya tinggal janji. Ani cuba mempertahankan harga dirinya selagi belum bergelar seorang isteri namun tunangnya sering meminta harga dirinya dengan alasan sekiranya Ani memberi maruah dirinya, dia akan terus menyayangi Ani selamanya. Namun Ani masih terus berharap agar tunangnya itu kembali padanya..

Dari sudut pandangan kamezaim :-
Ani tidak sepatutnya terus menyiksa diri hanya kerana seorang lelaki yang dia sendiri tahu akan sikap dan perangainya. Walau sekalipun lelaki itu adalah cinta pertamanya, namun tidak bererti dia harus mengorbankan kehidupannya sendiri. Allah tidak pernah kejam pada setiap hambanya, kita sebagai seorang hambanya akan sentiasa di uji dan terus di uji sejauh mana kekuatan iman di dada kita. Jangan kerana cinta kita menjadi buta dan janganlah sesekali kita menjadi hamba kepada cinta. Kamezaim dah lalui apa yang Ani lalui malah mungkin lebih hebat dari apa yang Ani lalui. Pedihnya luka di hati memang tiada siapa yang kan mengerti kepedihannya melainkan hanya pada mereka yang merasainya sendiri namun kita sebagai seorang yang punya akal dan fikiran, berfikirlah secara matangnnya. Lelaki seperti tunang Ani itu tidak perlulah Ani menangisi atau meratapi kepergiannya dari hidup Ani. Malah beryukurlah kerana Allah pisahkan Ani dengan dia awal-awal lagi sebelum Ani dan dia di sahkan sebagai suami isteri. Kerana di luar sana masih ramai lagi lelaki yang mampu menghargai diri seorang insan bernama Ani. Jangan di ratap hiba pada yang tak menjadi, jangan dirayu pada yang tak sudi dan jangan di nanti pada yang tak pasti. Buat saudari Ani, kamezaim nasihatkan agar tabahlah di dalam mengharungi setiap liku-liku kehidupan ini. Hidup tanpa airmata seolah-olah hidup tanpa penghidupan. Ani, walaupun besar manapun dugaan yang datang dalam hidup Ani, redhalah dan harungilah ianya dengan tenang dan sabar.. Percayalah bahawa ketabahanlah yang akan mencorak hidup kita dari muda hingga lah ke tua nanti dan hidup ini segalanya berkemungkinan wahai temanku...

Ikhlas dari jauh : Kamezaim

Dari sudut pandangan anda bagaimana pula..?


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

26 April 2009

Airmata Seorang Lelaki (Bah. 2)

Shah merenung tajam ke arah mata Syada, menginginkan kepastian dari Syada sendiri. Tapi keadaan masih tetap sepi malah tiada sebaris kata-kata pun yang kedengaran di situ. Hanya kedengaran angin yang bertiup seolah-olah turut memahami gelora di hati Shah. Lalu, dalam keadaan yang tidak bermaya sambil airmata mengalir membasahi pipi Shah, Shah memulakan bicara.. :-

Shah : Apa erti semua ini Syada?
Syada : Shah.. Maafkan Syada. Syada tak berniat nak mainkan perasaan Shah. Syada tahu Syada berdosa pada Shah tapi Syada inginkan sebuah kehidupan yang terjamin. Syada nak hidup bersama dengan lelaki yang mampu menjaminkan kebahagiaan buat diri Syada..
Shah : Kenapa Syada? Adakah Shah tidak mampu membahagiakan Syada?
Syada : Shah, macam mana Shah nak bahagiakan Syada sedangkan hidup Shah sendiri pun masih belum terjamin. Macam mana Shah nak menjaga Syada nanti? Syada tak mahu hidup menderita tanpa duit Shah, hidup ini hanya sekali.
Shah : Syada, Shah tak sangka Syada berubah dalam sekelip mata. Mana perginya janji-jani Syada dulu?. Kenapa tidak dari dulu lagi Syada kecewakan Shah?. Kenapa baru hari ni Syada nak kecewakan Shah?. Apa erti semua ini Syada..
Syada : Shah, maafkan Syada..
Shah : Cukup mudah bagimu Syada melafazkan perkataan maaf, adakah dengan perkataan maaf mampu merawat hati seorang insan yang benar-benar terasa terhina. Shah benar-benar terasa terhina Syada. Syada buat Shah seolah-olah Shah ni tak punya hati dan perasaan. Tidak mengapalah Syada, andai itu yang mampu membuat Syada terasa bahagia. Biarlah, Shah tidak akan merayu pada insan yang tak punya perasaan sepertimu Syada!.

Dalam suasana yang tenang dan hiba, Shah melangkahkan kaki mengundurkan diri. Tiada apa lagi yang harus dikatakan, segalanya telah terbukti bahawa selama ini dia hanyalah dipermainkan dan diperbodohkan oleh seorang insan bernama wanita. Namun, Shah tetap mendoakan agar Syada bahagia dengan lelaki pilihannya. Tidak semestinya orang yang kita sayang akan bersama kita, yang penting adalah agar dia bahagia walau sekalipun tidak bersama kita. Itulah erti pengorbanan yang sebenar.. Kereta milik Shah meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah Syada, akhirnya hilanglah rumah Syada dari pandangan Shah..

Sebulan kemudian..
Ting tong.. Ting tong.. Kedengaran bunyi jam loceng memecah kesunyian pagi. Shah terjaga dari tidurnya lantas mendapatkan jam loceng yang mampu mengejutkan satu blok rumahnya itu. Lalu Shah menutup suis locengnya dan melihat anak panah jam menunjukkan sudah pukul 5:30 pagi. Shah terus bangun dan mengambil tuala dan terus menuju ke bilik air. Setelah selesai mandi, Shah mengambil air wudhuk kemudian Shah menunaikan solat subuh. Walau sudah sebulan Syada meninggalkan Shah namun Shah tidak pernah berhenti dari terus mendoakan kebahagiaan Syada. Kerana difikirannya, Syada berhak menentukan kehidupannya sendiri.. Setelah selesai sembahyang, Shah menukar pakaian kepada pakaian kerjanya yang kotor dengan minyak itu. Baginya, seluar yang kotor itulah banyak membantu dia dalam meneruskan kehidupan ini.. Lalu Shah menghidupkan enjin keretanya dan terus berlalu menuju ke bengkel tempat dia memerah keringat mencari rezeki yang halal..

Setibanya Shah di bengkel, dia terlihat seorang gadis bersandar pada sebuah kereta honda jazz di depan bengkelnya. Shah meletak kenderaannya di tepi bengkel lantas menuju ke gadis itu. Lalu Shah bertanya :-

Shah : Assalamualaikum..
Gadis : Waalaikumsalam..

Shah terpaku melihat wajah gadis tersebut setelah gadis tersebut memandang Shah untuk menjawab salam tersebut. Wajah manis bertudung, terdapat lesung pipit di pipinya. Hati Shah kagum melihat keayuan wanita tersebut..

Gadis : Ahem.. Ahem.. Kenapa encik pandang saya macam tu? ".. tanya gadis tersebut sambil malu-malu.."
Shah : Err.. Tak ada apa-apa cik,.. " Jawab Shah sambil tertunduk malu.. "
Gadis : Encik ni mekanik di bengkel ni ke?
Shah : Ya, kenapa? Kereta cik rosak ke?
Gadis : A'ah, tadi masa keluar dari rumah ok je tapi sampai saja dekat simpang depan tu dia meragam plak. Tiba-tiba je enjin dia mati. Nasib baik ada orang awam dekat situ tadi, diorang yang tolong tolakkan sampai dekat sini. Diorang kata bengkel ni bagus, banyak kereta yang hantar repair dekat sini..
Shah : Oh ye ke, biasa lah tu.. hehe Kalau macam tu, biar saya periksa kereta cik tapi cik kena tunggu dululah sebab saya baru nak buka bengkel ni. Cik duduk dululah dekat kerusi tu ok.
Gadis : Tak perlulah nak bercik-cik dengan saya, panggil saja saya Puteri. ".. Sambil menghulurkan tangan pada Shah sebagai tanda perkenalan.. "
Shah : Errmm.. Cantik nama Puteri, cantik macam orangnya juga.. hehe Saya Shah.. ".. Shah menghulurkan tangan menyambut tangan Puteri sebagai menerima salam perkenalan sambil terketar-ketar tangan Shah bila bersentuh dengan tangan Puteri.. "

Dalam hati Shah ".. Amboi, lembutnya tangan awek ni.. Wajahnya cantik dan budi bicaranya cukup sempurna.. Untunglah siapa dapat awek ni.. ".

Kemudian Puteri pun menuju ke kerusi yang tersedia di depan bengkel tersebut manakala Shah pula memulakan tugas hariannya membuka bengkel itu dan mengemas barang-barang dan meletakkan di tempat yang sepatutnya..

* Bersambung..

Terima kasih kamezaim ucapkan buat saudara Zariel.net yang telah mempromosikan blog kamezaim di blognya mengenai novel-novel ciptaan kamezaim ini.


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

18 April 2009

Airmata Seorang Lelaki (Bah. 1)



Shah (bukan nama sebenar) bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel milik syarikat yang terkenal di kawasan tengah (Selangor & Kuala Lumpur). Tidak mempunyai diploma mahupun ijazah di dalam bidang kejuruteraan mekanikal namun mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang mekanik jentera berat. Berbekalkan sijil SPM yang tidak seberapa baik, Shah datang ke Kuala Lumpur untuk mencari haluan kehidupannya sendiri. Berasal dari sebuah kampung yang terletak di utara semenanjung, hidup dalam keluarga yang tidaklah seberapa kaya namun berkat pengorbanan ibu dan ayahnya dia mampu hidup sehingga kini. Shah sudah kehilangan ibunya yang tercinta kira-kira 2 tahun yang lalu akibat masalah buah pinggang. Shah redha dengan kepergian ibunya itu, menganggap ianya satu dugaan dan lumrah bagi insan yang bernyawa. Namun jauh di sudut hati Shah, dia terlalu merindukan ibunya.

Setelah hampir 3 tahun Shah berada di Kuala Lumpur, setelah menempuh pelbagai dugaan dan rintangan kehidupan di Kuala Lumpur akhirnya Shah menemui seorang gadis bernama Syada yang berasal dari Johor dan masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Syada masih menuntut di dalam semester 1 jurusan teknologi maklumat. Setelah Shah dan Syada berkawan, akhirnya berputiklah bunga-bunga cinta di antara mereka. Dari seorang kawan dan kemudian menjadi sepasang kekasih. Shah sentiasa meluangkan masa untuk bersama Syada, sungguhpun Shah tidak mempunyai sijil mahupun diploma namun Shah sentiasa menemani Syada ketika Syada mengulangi pelajarannya. Setiap petang selepas kerja Shah akan terus pergi berjumpa dengan Syada kerana rasa rindu dihatinya membuak-buak andai sehari tidak berjumpa. Shah dan Syada sering keluar bersama, semuanya ditanggung oleh Shah. Namun Shah sedikit pun tidak menjadikannya sebagai satu halangan untuk terus berjumpa dengan Syada. Sedangkan Shah tahu bahawa hidupnya kian sempit akibat kekurangan wang hingga terpaksa meminjam wang pada teman-teman yang lain. Namun sedikit pun Shah tidak menyesali akan kesusahan itu kerana dia tahu bahawa apa yang dilakukan oleh dia hanyalah untuk kekasihnya Syada. Shah ada juga menyimpan duit berserta impiannya untuk mengahwini Syada. Namun simpanannya itu masih belum mencukupi untuk Shah mengahwini Syada seperti yang diimpikannya itu. Namun Shah tidak pernah berputus-asa, siang dan malam Shah membuat kerja lebih masa sehinggakan terlupa pada kesihatan diri asalkan dapat mengumpul duit untuk mengahwini Syada.

Masa kian berlalu, Syada sudahpun menamatkan pengajiannya di universiti tersebut dan kini Syada bekerja di sebuah syarikat yang terkemuka di ibukota sebagai pegawai teknologi maklumat berbekalkan ijazah yang dimilikinya itu. Shah turut gembira dan bersyukur melihat Syada berjaya di dalam pelajaran yang tidak sepertinya, hanya mampu untuk memiliki SPM sahaja. Namun Shah tetap berbangga dan bersyukur sungguhpun dia tidak mempunyai ijazah namun kemahiran yang dimilikinya adalah satu anugerah yang tidak ternilai buatnya. Shah berasa cukup gembira dan bahagia sejak kehadiran Syada dalam hidupnya. Sedikit pun dia tidak meragui setiap kata-kata mahupun janji manis Syada, kerana dia percayakan Syada bahawa di hati Syada hanya ada dia. Namun masa kian bersilih ganti, Syada sudah tidak semesra dulu lagi bersama Shah. Setiap kali Shah ajak keluar, ada saja alasan yang Syada berikan untuk mengelakkan diri untuk keluar bersama Shah. Shah mula terasa terkilan dan mula meragui dengan apa yang terjadi. Shah teringat kembali saat-saat indah bersama ketika Syada masih menuntut di Universiti dulu, adakah Syada sudah tidak perlukan Shah lagi. Namun Shah mengetepikan semua itu, Shah menganggap mungkin Syada letih dengan kerja-kerjanya. Akhirnya Shah mengambil keputusan untuk melamar Syada. Shah kembali ke kampung untuk menyiapkan persediaan untuk melamar Syada.

Setelah persiapan sudah siap dan segalanya sudah ada, akhirnya Shah dan keluarga berangkat menuju ke Johor. Sepanjang perjalanan, Shah hanya tersenyum sambil melihat gambar pertama mereka berdua yang diambil ketika mula-mula mereka bertemu dulu. Hati Shah terasa gembira kerana dia hampir menuju impiannya, kerana itulah yang dinantikan olehnya. Akhirnya Shah dan keluarga selamat sampai ke negeri Johor, namun mereka mengalami kesukaran untuk mencari rumah Syada kerana Shah tidak pernah sekalipun datang ke kampungnya. Akhirnya ayah Shah memberhentikan kereta di sebuah kedai runcit yang terdapat di kampung itu, lalu Shah turun bertanya kepada pemilik kedai tersebut :-

Shah : Assalamualaikum..
Pemilik Kedai : Waalaikumsalam..
Shah : Pak cik, saya nak tumpang tanya sikit boleh tak?
Pemilik Kedai : Boleh nak, banyak pun tak apa. Apa yang anak nak tanya? Kalau pak cik tahu, pak cik akan bagitahu anak.
Shah : Betul kan ini kampung Dato' Haji Asyirat?
Pemilik Kedai : Betul nak, kenapa?
Shah : Pak cik tahu tak mana satu rumah Haji Zainudin? (Ayah Syada)
Pemilik Kedai : Kenapa pula pak cik tak tahu nak, Haji Zainudin tu semua orang sini kenal nak. Dia bekas imam masjid dekat sini. Anak ni dijemput ke majlis perkahwinan anak perempuan dia ke?
Shah : Majlis perkahwinan? Anak dia yang mana satu kahwin pak cik?
Pemilik Kedai : Orang sini panggil dia dik na, tapi nama penuh dia pak cik tak tahulah pula. Anak tak dijemput ke?
Shah : Tak pak cik, tapi tak mengapalah. Boleh saya tahu yang mana satu rumahnya pak cik?
Pemilik Kedai : Baiklah, anak terus ikut jalan ni sampai anak jumpa sebuah stesyen minyak petronas sebelah kiri. Tepi petronas tu ada jalan masuk. Kalau tak silap pak cik, mereka dah letak rasanya bunga mangga dekat pintu masuk jalan tu.
Shah : Baiklah pak cik, terima kasih ye pak cik. Saya minta diri dulu ye pak cik, Assalamualaikum.
Pemilik Kedai : Waalaikumsalam nak..

Shah pun menaiki kereta kembali dan menuju pada tempat yang dikatakan oleh pak cik tadi. Akhirnya Shah menemui stesyen minyak tersebut dan menemui jalan yang dikatakan oleh pak cik tadi namun masih belum ada bunga mangga lagi. Mungkin masih awal lagi untuk mereka meletak bunga mangga di pintu masuk jalan tersebut. Lalu ayah Shah mencari tempat letak kereta berdekatan pintu jalan masuk tersebut. Shah ternampak sebuah rumah yang dipenuhi ramai orang dan Shah berbisik di dalam hatinya, mungkin inilah rumah Syada. Lalu, Shah terus melangkahkan kakinya menuju ke rumah tersebut sambil di dalam fikirannya masih tertanya-tanya majlis siapakah ini. Shah mula rasa tidak sedap hati namun dia gagahi juga untuk mendapatkan kepastian. Sambil Shah berjalan sambil Shah melihat ke arah keretanya, melihat keluarganya mengeluarkan barang-barang hantaran dari kereta untuk di bawa ke rumah Syada. Akhirnya Shah tiba di perkarangan rumah tersebut, semua orang sibuk melakukan kerja masing-masing. Pada siapa Shah ingin bertanya, dia sendiri pun tidak tahu. Dia ternampak seorang lelaki yang separuh umur berpakaian penuh baju melayu, mungkin itulah ayah Syada. Kata di dalam hatinya. Namun pandangannya terpandang pada sebuah kereta waja yang sangat dia kenali siapa pemiliknya. Ya, itu kereta milik Syada yang baru dibeli kira-kira 2 bulan yang lalu. Terfikir di dalam hati Shah, kenapa Syada tidak bagitahu dia yang dia balik ke kampung?. Dan kenapa dia tak bagitahu yang rumahnya akan diadakan masjlis perkahwinan?. Kenapa?.. Mengapa??. Perasaan ingin tahu Shah meronta-ronta hingga dia terus menuju ke lelaki yang berpakaian baju melayu tadi. Dalam masa yang sama keluarga Shah turut sampai ke situ dan berada di belakang Shah sambil memegang barang-barang hantaran yang dibawa. Lelaki berpakaian melayu tadi terkejut memandang kehadiran Shah dan keluarga sambil membawa hantaran. Orang-orang kampung yang berada di sekitar situ pun turut terkejut dan memandang ke arah Shah sekeluarga. Lalu Shah menghampiri lelaki berbaju melayu tadi sambil berkata :-

Shah : Assalamualaikum pak cik.
Ayah Syada : Waalaikumsalam..
Shah : Pak cik, betul kah ini rumah Syada?
Ayah Syada : Betul nak, anak ni siapa?
Shah : Saya Shah, kawan Syada. Ini keluarga saya.
Ayah Shah : Kenapa ramai orang, ada kenduri ke?
Ayah Syada : Ya, kenduri anak saya kahwin. Marilah masuk dulu. Err.. ini hantaran untuk siapa dan kenapa?
Ayah Shah : Oh, ini hantaran untuk meminang anak encik untuk si Shah ni. Saya minta maaflah sebab saya tak tahu yang hari ni ada majlis kenduri di sini. Kalau saya tahu tentu saya tak akan datang hari ini untuk meminang.
Ayah Syada : Meminang? Meminang anak saya yang mana satu?
Shah : Syada pak cik.
Ayah Syada : Apa? Syada? Anak ni pasti ke anak datang ni nak meminang anak pak cik si Syada tu?
Shah : Betul pak cik, kami datang ni nak meminang Syada. Kenapa pak cik?
Ayah Syada : Shah, pak cik tak tahu macam mana nak kata pada Shah. Kalau Shah nak tahu, hari ni Syada akan berkahwin. Majlis perkahwinan ni adalah untuk Syada lah.
Shah : Apa pak cik? Syada akan berkahwin?.
Ayah Syada : Ye nak..

Tanpa di sedari, airmata mengalir membasahi pipi Shah. Tiada kata-kata yang termampu diungkapkan oleh Shah ketika itu melainkan hanya mampu merenung wajah ayahnya yang tidak bermaya seolah-olah turut berduka. Keadaan di situ yang mulanya tadi bising dengan bermacam-macam bunyi namun kini sunyi sepi seribu bahasa seolah-olah tiada orang langsung di situ. Tiba-tiba wajah yang selama ini dia puja, akhirnya muncul di muka pintu rumah itu. Dalam keadaan terkejut, Syada memandang kehairanan ke arah Shah dan keluarga.. *Bersambung...


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

04 April 2009

Sebuah Penghidupan..


Assalamualaikum..
Hari kian silih berganti, ada yang berubah mengikut masa namun ada juga yang tiada apa perubahan. Itulah di katakan kehidupan seorang manusia. Ada kala kita bangga tatkala kita menjulang sebuah kejayaan hingga kita terlupa pada kedukaan tatkala terkubur sebuah impian. Kita sering berharap agar sebuah impian itu kan menjadi kenyataan hingga kita mencuba apa yang terdaya untuk mencapainya..

Kehidupan ini memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan kecekalan dan kecekalan memerlukan sebuah pengorbanan. Kerana ketabahanlah kita mengenal erti kesusahan, kerana kecekalanlah kita mampu mengatasi tiap ruang waktu dan kerana pengorbananlah kita mampu mengenal erti sebuah penghidupan. Walau apapun tafsiran yang ada, ketabahan, kecekalan dan pengorbananlah yang akan mencorak hidup kita dari muda hinggalah ke tua nanti..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

05 February 2009

Dadah Bukanlah Segala-galanya..

Assalamualaikum..
Cepat masa berlalu meninggalkan kita. Dalam sedar atau tak sedar, januari 2009 sudah pun meninggalkan kita. Kamezaim harap anda semua sihat sejahtera sambil meniti setiap liku-liku kehidupan ini yang kian mencabar..

Kadang-kala kamezaim ada juga membawa diri di sekitar kuala lumpur. Saja jalan-jalan cari apa yang berkenan. Sedang kamezaim berjalan dari satu tempat ke satu tempat tu, kamezaim ternampak anak-anak bangsa malaysia berada dalam keadaan yang amat memalukan. Di sebalik kemajuan negara yang pesat, terselit kemunduran anak bangsa yang tersesat. Dalam keadaan yang mengghairahkan, hingga ternampak hampir seluruh inci tubuhnya. Berada dalam keadaan lemah dan khayal, setelah menikmati suntikan nikmat dunia. Ada yang masih berpakaian lengkap seragam sekolah, duduk terkangkang disana-sini seolah-olah kawasan itu merekalah yang punya. Yang menyedihkan, semua yang berada di situ adalah bangsa melayu dan perempuan. Melakukan hubungan seks bebas tanpa ada rasa malu pada masyarakat di sekitarnya. Reaksi wajah mereka seolah-olah mereka bangga dan berpuas hati dengan apa yang telah mereka lakukan. Dimanakah salah dan silapnya? Siapakah yang harus dipersalahkan?.

Kamezaim pun bukanlah orang yang baik. Kamezaim pun jahat juga dulu tapi tidaklah sampai terfikir untuk menyentuh benda tu. Sejahat-jahat kamezaim pun kamezaim tak akan cuba untuk merasa benda yang mampu memudaratkan hidup kamezaim hingga ke akhir hayat. Sebab kamezaim tahu apa kesan dan penghujungnya.. Tapi kenapa mereka tidak berfikir seperti itu? Kenapa mereka masih nak juga mencuba benda yang tak berfaedah itu. Masih banyak benda lagi yang mereka patut cuba tapi kenapa itu juga yang menjadi pilihan mereka. Nak kata mereka tak tahu apa kesannya, rasanya dah puas kerajaan buat pameran dan sebagainya. Mungkin mereka ambil benda itu sebab nak lari dari tekanan masalah keluarga atau ingin mencuba. Memang mereka bodoh kerana terlalu mudah untuk mengambil jalan penyelesaian yang singkat itu. Ketenangan hanya sementara tapi penderitaan sepanjang hayat yang ada.

Apa yang lebih menyedihkan, insan-insan yang tidak berdosa turut menerima nasib yang sama. Kerana kesilapan dan kebodohan ibu dan ayah, anak-anak yang dilahirkan turut menerima kesannya. Baru ingin mengenal dunia tapi apakan daya, darah yang mengalir di dalam tubuhnya dipenuhi kuman HIV. Tambah menyedihkan apabila insan-insan yang tidak berdosa ini dipinggirkan dari masyarakat. Masih ada masyarakat yang takut untuk mendampingi insan-insan seperti ini. Apalah salah dan dosa mereka hingga mereka dipinggirkan. Mereka tidak minta lahir ke dunia untuk menerima nasib itu tapi siapalah mereka untuk melawan takdir yang sudah pun tertulis buat hidup mereka. Kita sebagai masyarakat yang berfikiran, seharusnya kita berfikir dan menerima mereka agar mereka dapat merasa apa yang kita rasa. Antara kita dan mereka tiada bezanya, bila mati pun kita akan tuju tempat yang sama. Mereka tidak meminta belas simpati, cukuplah sekadar mengizinkan mereka hidup seperti manusia yang lain. Mereka jua punya hati dan perasaan seperti kita.

Tiada apa lagi yang dapat kamezaim katakan, hanya airmata yang menjadi saksi melihat anak-anak bangsa gugur di dalam kenikmatan dunia. Buat ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana, janganlah terlalu sibuk mengejar wang hingga lupa pada anak-anak. Luangkanlah sedikit masa untuk bersama anak-anak, sentiasa ambil tahu setiap langkah anak-anak. Jangan tenggelamkan anak-anak dengan harta dan kemewahan hinggakan mereka turut tenggelam dalam kenikmatan dunia. Kerana kesenangan hidup, mereka lupa diri. Kamezaim pun bukanlah dari keluarga yang senang, arwah mak kamezaim bekerja seawal 2 pagi menyiapkan kuih untuk dijual. Berapalah sangat keuntungan yang dapat dari hasil jualan tu, namun arwah mak kamezaim tak pernah berputus asa atau mengenal erti letih dan penat. Segalanya dilakukan untuk membantu ayah kamezaim demi membesarkan anak-anak dia. Kamezaim pernah lalui saat-saat getir kehidupan ini, segalanya hanya Allah yang tahu. Kamezaim tak sanggup nak lakukan benda yang salah dan jahat, setiap kali kamezaim ingin melakukan, kamezaim pasti terbayangkan wajah arwah mak bertungkus-lumus menyiapkan kuih. Tidak aapat kamezaim gambarkan betapa susahnya hidup kami ketika itu. Tapi apakan daya kamezaim, pada masa itu kamezaim tak mampu menyenangkan arwah mak. Arwah mak kamezaim hidup susah sampai ke akhir hayatnya. Itulah satu penyesalan kamezaim yang tak mungkin ada penghujungnya. Pengorbanan dia terhadap kamezaim tak ternilai jika hendak dibandingkan dengan nilai wang ringgit dan harta yang ada.

Buat mereka yang sudah terpesong dari jalan kehidupan, kembalilah ke pangkal jalan. Insaflah sebelum terlambat. Hargailah apa yang kita ada, jangan sampai kita kehilangannya. Buat mereka yang ingin mencuba benda tu, kamezaim harap lupakanlah saja niat itu. Masih banyak lagi benda yang boleh kita cuba, janganlah menjatuhkan martabat kita sebagai bangsa melayu. Jadikanlah bangsa melayu sebagai bangsa yang teratas sekali. Jangan sampai melayu hilang di dunia..

"Jauhilah Dadah, Kerana Dadah Bukanlah Segala-galanya"


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

02 February 2009

Feeza..


Feeza..
Maafkan aku andai hatimu terluka setelah kau membaca coretan ini. Tiada kata yang termampu untuk ku lafazkan padamu agar kau bisa memahami dan mengerti setiap luahan kata-kata ku terhadapmu. Kau menganggap setiap kata-kata dariku hanyalah satu gurauan sedangkan dengan sepenuh hati aku cuba untuk membuat kau mengerti rasa gelodak di jiwa ini. Pertama kali aku mengenalimu, aku tahu kau tidak serupa dengan insan-insan lain yang pernah ku kenali. Sungguhpun kau tak punya paras rupa yang menawan, sungguhpun hidupmu penuh dengan dugaan namun itu semua tidak pernah ku jadikan halangan untuk mendekatimu. Semakin lama kau ku kenali, semakin bergelora perasaan di hati ini. Tujuan aku menulis di sini hanyalah untuk menjelaskan keadaan yang sebenar dengan harapan kau percaya bahawa aku ikhlas terhadapmu..

Feeza..
Aku tahu hatimu terluka. Aku tahu kau hidup menderita. Tidak dapat aku bayangkan perasaan mu setelah kau mengetahui sebuah kenyataan yang terlalu sukar untuk diterima. Aku tahu kau tidak pinta untuk lahir ke dunia seperti itu, namun siapalah kita untuk melawan takdir yang maha Esa. Kita hanyalah insan biasa yang menumpang di suatu sudut dunia ini. Sampai masanya nanti kita tetap kan pergi jua..

Feeza..
Hatimu kecewa setelah mahligai yang di impikan hancur berkecai di persimpangan jalan hanya kerana sebuah kenyataan itu. Aku rasa kecewa kerana kaum seperti ku tergamak melukakan hatimu hanya kerana kenyataan itu. Kau juga punya hati dan perasaan seperti manusia yang lain tapi kenapa kau diperlakukan sebegini rupa. Sungguhpun aku tiada tempat dihatimu namun ku turut terluka melihat kau meniti setiap waktu kehidupan ini seorang diri. kau disisihkan tanpa rasa belas dan kasihan. Walaupun wajahmu nampak tenang namun ku tahu jauh di sudut hatimu mengharapkan seberkas sinar untuk kau menghabiskan sisa-sisa hidup yang masih ada. Apalah dosamu sehingga kau dilayan sebegini rupa. Aku betul-betul tidak mengerti..

Feeza..
Janganlah kau memencilkan diri. Sesungguhnya di sini masih ada insan yang sudi menjadi temanmu feeza. Kalau di luar sana mereka manganggap kau tidak berguna namun di sini kau adalah serupa seperti kami feeza. Aku sedia menjadi teman untuk kau berkongsi suka dan duka hidupmu. Andai hatimu terluka, aku sedia menjadi penawarnya. Aku tak rela melihat kau menderita, aku tak rela melihat kau tersisih. Feeza, apa yang ku katakan di atas bukanlah hanya kerana belas kasihan, tapi semuanya berlandaskan keikhlasan..

Feeza..
Aku tetap temanmu...


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

27 January 2009

Rindu Seorang Insan..

Rindu..
Aku rindu segalanya
Aku rindu pada yang masih ada
Dan aku merindu pada yang sudah tiada..

Rindu..
Rindu itu suatu penyiksaan
Kerana rindu jiwa yang tenang kian bergelora
Dan kerana rindu jua kita kenal erti kasih dan sayang..

Rindu..
Aku rindukan belaian kasih darimu
Aku rindukan ciuman manja darimu
Aku rindu akan senyuman manismu
Tapi apakan daya, kau sudah tiada lagi
Yang tinggal hanyalah secebis kenangan
Secebis kenangan disepanjang hayatmu
Yang kau tinggalkan buat tatapanku
Tatapan sepanjang hayatku..


Kepada Yang Sudi, Silalah Tinggalkan Sedikit Komen

Read more...

Pelawat Setia :

Siapa Kamezaim? :

My photo
hanyalah insan biasa yang menumpang di satu sudut dunia ini. Mencari kebahagiaan dan ketenangan hidup sebelum melangkah pergi..

Nukilan Popular :

(c) Copyright - Ini adalah blog peribadi hak milik kamezaim. Sebarang peniruan tanpa kebenaran pemilik adalah DILARANG sama sekali.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP